‘Bang, duit terjatuh’ – RM61,400 lesap disamun sindiket tabur duit

Sekumpulan warga asing dikesan menggunakan modus operandi dengan menabur wang tunai di atas jalan, yang kemudian memaklumkan kepada mangsa kononnya wang miliknya tercicir, sebelum bertindak menyamun mangsa. 

Kumpulan terbabit dilaporkan menyasarkan individu yang baru mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak di bank. Mangsa disamun ketika mahu mengambil wang yang didakwa miliknya tercicir. 
Berita Harian melaporkan, seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun telah menjadi mangsa kumpulan terbabit apabila wang berjumlah RM61,400 yang baru saja dikeluarkan dari sebuah bank di Kota Damansara, dilarikan kumpulan itu dalam kejadian 5 Julai lalu. 

Mangsa, Toh, berkata, dia mengeluarkan wang itu di kaunter bank sebelum pergi menjemput nenek dan adiknya di lokasi berhampiran. 

“Sebaik tiba, saya memberhentikan kereta. Seorang lelaki warga asing menghampiri kenderaan dan mengetuk tingkap sambil mendakwa ada wang saya terjatuh. 

“Saya keluar dari kenderaan dan tiba-tiba terdengar bunyi pintu penumpang depan dibuka seseorang. Saya nampak seorang lelaki warga asing sedang mengambil beg mengandungi wang dan membawanya lari. 

“Lelaki yang menegur saya itu turut melarikan diri bersama lelaki yang mengambil wang dari kereta menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih dipandu seorang lelaki warga asing,” katanya. 

Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran dan mendapat maklumat mengenai modus operandi kumpulan berkenaan. 

“Seorang daripada mereka akan menunggu dalam bank dan memantau mangsa yang mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak.

Suspek kemudian mengekori mangsa dan menabur wang tunai berhampiran kereta mangsa dan memaklumkan wang mangsa tercicir. 

“Mangsa yang tertipu akan keluar dari kenderaan untuk mengambil wang berkenaan sebelum seorang lagi suspek akan membuka pintu kereta dan mengambil beg mengandungi wang sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan dipandu seorang lagi suspek yang menunggu di lokasi berhampiran,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh mangsa dan kini sedang gia mengesan suspek. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 395 Kanun Keseksaan. 

Polis juga mengingatkan orang ramai sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan berkunci setiap kali keluar dari kenderaan.  

Sumber: The Reporter