RM30 JUTA LESAP – HARIAN METRO

Mangsa penipuan bukan saja berputih mata, malah ada yang menjual rumah dan aset, selain membuat pinjaman along semata-mata melunaskan hutang kepada syarikat kewangan selepas melabur dalam skim era baru itu.

Itu pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai trend penipuan baru sistem pelaburan wang digital Bitkingdom.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan rekod pihaknya, individu terbabit tertipu dengan skim era baru itu menerusi pelaburan Bitkingdom sejak 2015.

 “Ini trend penipuan baru, 130 individu itu datang mengadu kepada PPIM, kami nasihatkan lapor polis namun tiada undang-undang boleh dikuatkuasakan untuk menangkap orang yang mengaut keuntungan secara tidak bermoral ini.

“Mangsa berputih mata, sampai ada kena jual rumah dan aset, tidak kurang juga pinjam dengan along,” katanya, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, oleh itu PPIM meminta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Cyber Security Malaysia (CSM) menggubal undang-undang khas mengawal selia sistem pelaburan wang digital berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan jumlah kerugian membabitkan pengguna aktif terdiri daripada rakyat tempatan tidak terus meningkat.

“Setakat ini apa yang PPIM tahu BNM dan CSM memantau sistem pelaburan ini, namun tidak boleh ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihak berkuasa berkenaan sepatutnya berada 10 langkah ke depan, namun sebaliknya berlaku.

“Penyamun Bitkingdom sentiasa ada taktik baru menipu rakyat.

“Mereka jumpa formula menggagalkan fungsi agensi penguatkuasaan, tiada undang-undang khusus untuk ambil tindakan.

“Agensi terbabit seolah-olah lepas tangan. Ini yang kita tidak mahu berlaku. Ada pengguna kurang bijak memerlukan agensi memberikan nasihat dan membela nasib mereka,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro

Sumber: PPIM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*