Warung Teringin Shima riuh-rendah dengan kunjungan Ameng

“SAYA tergamam dan terkejut melihat Ameng datang ke warung ini. Perasaan terharu pun ada apabila melihat dia sudi bertandang ke tempat saya cari makan,” kata penyanyi Shima mengenai kunjungan mengejut Ameng ke Warung Teringin miliknya Khamis lalu.

Shima atau Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman, 49, berkata, dia hanya dimaklumkan warungnya akan dikunjungi oleh peminat yang teringin merasa nasi campur dan lauk pauk masakannya.

“Saya langsung tak tahu kejutan ini. Pegawai Perhubungan Awam Artis, Dankerina beritahu saya supaya masak lebih dan pakai cantik-cantik kerana peminat nak datang makan dan bergambar.

 “Rupanya ada kejutan kerana ia dirancang oleh Ameng bersama sebahagian ahli kelab peminatnya.

“Malah dia bukan datang sendirian sebaliknya turut bawa bersama Nizam Laksamana, Bagio Damasutra dan komposer Zul Mahat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kehadiran mereka mengimbas kembali kisah lampau terutamanya ketika sama-sama berjuang dalam pertandingan akhir Juara Lagu pada awal tahun 90-an.

“Hubungan rakan artis era dahulu memang rapat. Saya dan Ameng sama-sama bernaung di bawah label Sony Music Entertainment manakala Nizam dan Bagio sering bertemu ketika sama-sama buat show,” katanya

Shima yang popular menerusi lagu Teringin mula mengusahakan warung sebagai pendapatan sampingan selain nyanyian bermula 3 Disember lalu di tapak berhampiran kediamannya di Pangsapuri Lestari, Damansara Damai.

Dia bersyukur kerana permintaannya untuk berniaga mendapat kebenaran daripada pengurusan pangsapuri itu serta menerima sokongan daripada masyarakat sekitar.

“Alhamdulillah, memang tak mengecewakan kerana jualan saya habis setiap hari. Terima kasih terhadap pihak media dan rakan-rakan yang tularkan mengenai perniagaan saya di laman sosial.

“Pelanggan yang datang bukan saja dari sini bahkan ada juga dari Kajang. Mereka peminat saya dan turut bawa bersama CD saya untuk ditandatangan,” katanya.

Shima yang dibantu suaminya, Abdullah Rusli, 41, mengakui bersyukur dengan apa yang diperolehi kerana dapat menampung kehidupan mereka berdua.

“Dengan hasil jualan ini dapatlah kami bayar sewa rumah, selesaikan bil-bil yang perlu serta beli ubat.

“Saya perlu sentiasa makan ubat untuk sakit slip disc dan tak boleh lasak. Begitu juga suami yang kurang sihat kerana pernah kemalangan.

“Kami perlu ke pasar borong seawal jam 1 pagi untuk beli ikan segar. Saya tak suka gunakan ikan sejuk beku dalam masakan,” katanya.

Sementara itu, Ameng dan rakan-rakan lain mengakui terpanggil untuk menyokong Shima dan memberikannya semangat untuk terus mencari rezeki.

“Saya pun dah lama tak jumpa Shima. Kebetulan sebelum ini saya bercuti panjang dan hanya sempat tengok dia dari jauh.

“Saya bukanlah seorang yang berharta dan saya cuba bantu Shima setakat yang termampu dengan datang ke sini.

“Kalau boleh kita sama-sama sokong Shima. Janganlah ada yang dengki. Sebaiknya kita ajak ramai lagi datang supaya perniagaan Shima terus berkembang. Mungkin selepas ini dia mampu buka restoran pula,” kata Ameng.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SinarViral
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @SinarViral

Sumber: Metro online via GengJoyah

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*