‘Ini adalah kisah yang mengharukan’ – 4 pemimpin DAP sumbang duit gaji RM42,000 untuk bantu bayar hutang negara

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak mengambil keputusan untuk menyumbang wang mereka bagi membantu mengurangkan beban hutang yang ditanggung kerajaan, lapor Astro Awani. 

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar, inisiatif itu dibuat bagi menyahut dasar yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad suatu masa dahulu iaitu, kepimpinan melalui teladan. 
“Hari ini kita telah melihat Nga Kor Ming menunjukkan teladan yang begitu baik dengan memberikan sumbangan sebanyak RM16,000 untuk membantu kerajaan dalam menghadapi satu krisis yang agak mudarat.
“Saya dan juga rakan seperjuangan bersama-sama dengan beliau dengan semangat yang sama, semangat sebagai anak Malaysia, patriotik terhadap negara, kami akan beri sumbangan juga,” katanya yang memberi sumbangan sebanyak RM8,000. 

Wakil rakyat lain yang terlibat seperti Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kan Woh memberi sumbangan RM8,000 dan ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen sebanyak RM10,000. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming meluahkan rasa bangganya terhadap semangat yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia berhubung sumbangan untuk membantu mengurangkan hutang negara. 

“Semalam ada seorang lelaki, jika tidak silap saya dari Batang Berjuntai, ada menulis surat kepada Menteri Kewangan, memberi derma RM100, cuba membantu negara kita membayar hutang. 

“Ini adalah kisah yang mengharukan, khususnya di bulan Ramadan. Semalam juga ada seorang lelaki kaum India telah menderma lima peratus daripada gajinya untuk membantu kerajaan baru bayar hutang.

“Hari ini, saya umumkan untuk derma gaji bulan ini sebanyak RM16,000 kepada kerajaan baru sebagai tanda solidariti Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan,” katanya.

Terdahulu viralnya surat dari seorang rakyat Malaysia bernama Sabahbahti Rajalingam dari Batang Berjuntai kepada Jabatan Perdana Menteri yang mahu menderma RM100 bagi membantu membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion. 

Semangat patriotik lelaki itu dipuji netizen kerana sanggup mengambil inisiatif yang jarang dibuat oleh orang lain. Tidak kurang juga ada yang mentertawakan lelaki itu kerana menganggap tindakan itu tidak bijak. 

Terkesan dengan tindakan mulia Sabahbahti itu, ramai netizen yang tampil mahu melakukan perkara yang sama dan memohon Bank Negara mewujudkan satu akaun khas untuk rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan bagi membantu membayar hutang negara yang meningkat kerana kerajaan yang sebelum ini. 


Sumber: The Reporter

Apa kata anda?