“Kami membelanjakan lebih RM200,000 (AS$43,650) hasil keprihatinan dan sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin Malaysia” – Aman Palestin lancarkan klinik bergerak di Gaza

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Aman Palestin, kini menyediakan perkhidmatan Klinik Komuniti Bergerak menggunakan sebuah van, bagi merawat penduduk Palestin yang cedera akibat kekejaman Israel di wilayah terkepung, Semenanjung Gaza.

Projek terbabit dijayakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Assalama, dengan sasaran membantu sekurang-kurangnya 500 rakyat Palestin yang mengalami pelbagai kecacatan hingga menyukarkan mereka pergi mendapatkan rawatan secara langsung di hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam, berkata setiap hari klinik bergerak yang dikendalikan petugas perubatan dan jururawat itu, melakukan lawatan ke rumah pesakit yang dikenal pasti serta kawasan terpencil bagi menyediakan perkhidmatan pergigian, pembersihan kecederaan dan rawatan am.

“Kami membelanjakan lebih RM200,000 (AS$43,650) hasil keprihatinan dan sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin Malaysia, bagi menjayakan projek terbaharu ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Omar berkata, klinik bergerak itu akan melakukan lawatan harian di sekitar wilayah terbabit membantu pesakit yang memerlukan.

Katanya, projek berkenaan bukan sahaja membantu dari segi rawatan, malah mengurangkan kesengsaraan emosi yang dihadapi penduduk terjejas.

“Kami berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang berterusan dan turut membantu menyumbang dan meringankan beban rakyat Palestin,” katanya.

Sumber: IndahnyaIslam , BeritaHarian

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*