“Chong Wei Lepas Geram”

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, kembali memulakan pemburuan emas terakhirnya di pentas Sukan Komanwel dengan aksi garang menewaskan Benjamin Li dari Isle of Man di Arena Sukan Carrara, hari ini.

Chong Wei, yang mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama acara perseorangan lelaki, turun dengan semangat baru selepas gagal dalam memastikan emas berpasukan campuran, kelmarin.

Dia nyata tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan tidak ternama itu 21-6, 21-3 dalam tempoh 21 minit.

“Ini adalah perlawanan pertama bagi saya dalam acara ini. Saya harap lebih fokus berbanding acara berpasukan campuran.

“Ini mungkin bukan lawan yang sukar. Saya harus fokus dan tidak memandang rendah semua lawan. Saya harap saya bermain lebih bagus kali ini,” katanya.

Mengulas mengenai semangatnya selepas tewas kepada jaguh India, Srikanth Kidambi, dalam perlawanan akhir berpasukan campuran, Chong Wei berkata dia harus kembali menumpukan perhatian terhadap prestasinya.

“Tidak kisah apa-apa pun. Ini adalah hari yang baru. Saya perlu tumpukan perhatian kepada prestasi diri sendiri.

“Saya berharap dapat bermain lebih bagus daripada berpasukan campuran,” tambah Chong Wei.

Sementara itu, Soniia Cheah Su Ya, kembali ke gelanggang untuk acara perseorangan selepas beraksi dalam acara beregu pada sebelah pagi.

Meskipun dilanda kecederaan, Soniia yang juga pilihan kelima tetap mampu mempamerkan aksi bertenaga untuk menumpaskan lawan dari Ireland Utara, Rachael Darragh, 21-5, 21-12.

Malaysia seterusnya mengesahkan kemaraan menerusi pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Tampil selaku pilihan kelapan, Peng Soon-Liu Ying mendapat tentangan beregu Mauritius, Georges Paul-Aurelie Marie Elisa, sebelum menang 21-15, 21-11.

Kredit:- stadium astro via HarimauMalaya

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*